Pasport Pengerusi Eksekutif NFCorp Diserahkan Sementara Bagi Urusan Di Luar Negara

Diterbitkan: Sabtu, 14 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang didakwa pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan pertuduhan mengikut Akta Syarikat, pada Khamis berjaya memperoleh pasportnya bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi ke luar negara.

Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Mohamad Salleh supaya pasport tersebut diserahkan sementara kepada anak guamnya dan dikembalikan semula kepada mahkamah pada 16 Mei ini.

Muhammad Shafee ketika membuat permohonan itu pada sebutan kes berkenaan, Khamis berkata anak guamnya telah memfailkan notis permohonan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 10 April lepas bagi memohon supaya pasport itu diserahkan untuk membolehkannya selaku pengerusi eksekutif NFCorp dan pengarah serta signatory syarikat Meatworks (Singapura) Pte Ltd menjalankan tugas rasmi ke luar negara.

Katanya anak guamnya itu berjanji akan mengembalikan pasport itu dalam tempoh 48 jam selepas kembali ke tanah air pada 16 Mei ini.

Mohamad Salleh akan ke Singapura pada 23 April hingga 26 April, mengerjakan umrah pada 28 April hingga 5 Mei, mengadakan lawatan ke Kazaskhtan pada 5 Mei hingga 11 Mei dan ke London pada 11 Mei hingga 15 Mei bagi melawat anaknya di sana.

Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad tidak membantah permohonan pihak pembelaan supaya pasport itu serahkan sementara kepada Mohamad Salleh.

Mahkamah menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes itu.

Pada 12 Mac lepas, Mohamad Salleh, 64, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan salah seorang anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 409 dan jika disabitkan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun hingga 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Sementara itu, bagi pertuduhan pertama dan kedua mengikut Akta Syarikat, Mohamad Salleh selaku pengarah NFCorp didakwa tanpa kebenaran mesyuarat agung telah menggunakan harta syarikat untuk membiayai sebahagian daripada pembelian dua unit kondominium tersebut.

Bagi kedua-dua kesalahan ini, Mohamad Salleh didakwa mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000.

Turut hadir di mahkamah, isteri Mohamad Salleh iaitu bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan anggota keluarganya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan