Rasuah: Pengurus Besar Sime Darby Engineering Dipenjara 27 Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 13 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor pada Khamis dihukum penjara 27 tahun dan denda RM894,400 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap lima tuduhan rasuah melibatkan lebih RM180,000.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah bagi semua pertuduhan terhadap Md Zaki Othman di akhir kes pembelaan.

Md Zaki, 50, yang kelihatan tenang ketika dijatuhi hukuman itu, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara 112 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Ahmad Zamzani ketika menyampaikan keputusan itu berkata keterangan pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan penjelasan olehnya adalah secara tidak jujur dan tidak munasabah.

"Keterangan alibi yang diberikan oleh saksi pembelaan adalah tidak berasas dan tidak munasabah dan ianya telah gagal mematahkan anggapan bahawa suapan berbentuk jam tangan dan perabot diterima secara rasuah," kata hakim itu. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Ahmad Zamzani turut memerintahkan jaminan RM45,000 yang dikenakan terhadap tertuduh dinaikkan kepada RM70,000 dengan seorang penjamin.

Bagi pertuduhan pertama, Md Zaki dihukum penjara empat tahun dan denda RM168,000 atau 18 bulan penjara jika gagal membayar denda itu dan pertuduhan kedua hukuman penjara lima tahun dan denda RM108,500 atau 20 bulan penjara.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dihukum penjara lima tahun dan denda RM153,000 atau 20 bulan penjara, pertuduhan keempat hukuman penjara enam tahun dan denda RM164,900 atau 24 bulan penjara dan pertuduhan kelima hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM300,000 atau 30 bulan penjara.

Oleh yang demikian, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 27 tahun dan membayar denda RM894,400 selepas mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, Md Zaki didakwa menerima suapan RM33,600 bagi bayaran set perabot daripada seorang kontraktor, Abdul Salam Ahmad, di rumahnya di Jalan Austin Perdana 2/11, Taman Austin Perdana di sini pada 10 pagi, 14 Disember 2007 sebagai dorongan membantu Abdul Salam mendapatkan Surat Hasrat bertarikh 11 Jan 2008 bagi projek "EPCIC for MOQ Package 16, BE Process and BG Utility Platforms" bernilai RM23,901,959 kepada Duplex Energy Sdn Bhd.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Untuk pertuduhan kedua, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menerima jam tangan berjenama Rolex bernilai RM21,700, juga daripada Abdul Salam di alamat yang sama pada 9 malam 10 Mac 2009, sebagai upah membantu melulus dan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan berhubung kontrak "EPCIC for MOQ Package 16, BE Process and BG Utility Platforms" di Sime Darby Engineering Sdn Bhd, Pasir Gudang dan sub kontrak projek Kumang & Tangga Barat Cluster Development Project (Fasa 1) oleh Duplex Energy Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24, akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Md Zaki didakwa meminta suapan berupa seutas jam tangan berjenama IWC berharga RM32,980 daripada Abdul Salam di Hour Glass Sdn Bhd, pusat beli belah Lot 10 di Jalan Sultan Ismail di sini antara 1.30 tengah hari dan 4.30 petang antara 13 Mac 2009 dan 15 Mac 2009. Suapan itu sebagai dorongan membantu kontraktor berkenaan mendapatkan Surat Hasrat bagi projek kontrak kecil Kumang & Tangga Barat Cluster Development Project (Fasa 1) oleh syarikat milik kontraktor itu yang mengendalikan kejuruteraan minyak dan gas.

Bagi pertuduhan keempat, Md Zaki didakwa bersetuju terima suapan berupa jam tangan berjenama Hublot berharga RM60,000 daripada Abdul Salam pada 10 pagi antara 13 Mei 2009 dan 15 Mei 2009, sebagai upah membantu melulus dan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan berhubung kontrak 'EPCIC for MOQ Package 16, BE Process and BG Utility Platforms' di Sime Darby Engineering Sdn Bhd, Pasir Gudang dan projek kontrak kecil, Kumang & Tangga Barat Cluster Development Project (Fasa 1) oleh syarikat kontraktor itu.

Pertuduhan ketiga dan keempat adalah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dibaca bersama mengikut Seksyen 24 akta yang sama dan Seksyen 17(a) akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan terakhir, Md Zaki didakwa meminta suapan RM33,600 daripada Abdul Salam bagi bayaran set perabot di Europe Asia Furniture Expo Sdn Bhd, Jalan Universiti, Petaling Jaya dekat sini pada 28 Nov 2007 mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Terdahulu, peguam T.Vijayasandran yang mewakili Md Zaki memohon supaya mahkamah menjatuhi hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana dia telah hilang pekerjaan sejak dituduh di mahkamah dan memohon supaya hukuman yang bakal diberikan oleh mahkamah berjalan secara serentak.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi daripada SPRM memohon hukuman setimpal kerana sebagai pengurus besar kanan di Sime Darby tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada organisasi dan pekerja bawahannya.

"Dengan gaji RM39,000 sebulan yang diterima tertuduh adalah tidak munasabah untuk dia melakukan kesalahan rasuah dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Seramai 29 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada Februari 2011. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan