Ugut Adik: Pengawal Keselamatan Dihukum Penjara Lima Bulan

Diterbitkan: Khamis, 12 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang selalu pulang dalam keadaan mabuk, pada Khamis dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret kerana mengugut adiknya, lima hari lepas.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamal Mohamad Abdul Wahab, 40, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengugut dengan menggunakan sebilah pisau serta mengancam hendak mendatangkan kematian terhadap adiknya Salmah Cheeta Abdul Ghaffar Ramujy, 35.

Mohd Azali memerintahkan Jamal Mohamad menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 April lepas. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 31-14-10, Sri Perak, Bandar Baru Sentul, pada 9 malam, 7 April lepas, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, abang (tertuduh) kepada pengadu (Salmah Cheeta) telah pulang ke rumah dalam keadaan mabuk di rumah ibunya dan naik marah selepas dimarahi ibunya dan Salmah Cheeta kerana beliau selalu pulang dalam keadaan mabuk.

Dia kemudiannya bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan mengugut mangsa dengan mengancam akan membunuhnya.

Jamal Mohamad tidak diwakili peguam manakala kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Safuan Alias. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan