Sebutan Semula Kes Saksi Didakwa Beri Keterangan Palsu Dalam Kes Sosilawati 17 Mei

Diterbitkan: Khamis, 12 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes pekerja ladang, U.Suresh yang didakwa memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim.

Salwa Asmary memohon agar kes ditangguh ke tarikh lain sementara menunggu keputusan perbicaraan kes bunuh itu yang ditetapkan pada 30 April ini.

Suresh, 28, dan seorang lagi pekerja ladang, K.Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka kerana kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Pada 10 Ogos tahun lepas, Suresh mengaku tidak bersalah memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan N.Pathmanabhan, T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Khatavarayan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir sedangkan keterangan yang dia berikan kepada pegawai perakam, ASP Ong Seng Keong pada 26 Okt 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, adalah berbeza.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari pada 25 dan 27 Julai 2011 di Mahkamah Tinggi 8 di sini.

Suresh didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh merupakan saksi ke-29 pendakwaan dalam perbicaraan kes Pathmanabhan, 43, bekas peguam, dan Thilaiyagan, 21; Matan, 22; serta Khatavarayan, 32; ketiga-tiganya pekerja ladang, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pada 15 Oktober 2010, Suresh dan Sarawanan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 28 tahun selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan itu.

Majistret Hurmain Hussain mengarahkan hukuman berjalan serentak, yang bererti Sarawanan dan Suresh masing-masing akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun selepas tarikh mereka ditangkap pada 9 September 2010.

Namun, pada 21 Februari tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohtaruddin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan), dalam melaksanakan kuasanya di bawah Kanun Acara Jenayah untuk menyemak keputusan mahkamah rendah, mengurangkan hukuman penjara kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan, tetapi memerintahkan ia berjalan secara berturut-turut. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan