Pemilik Kedai Pakaian Seragam Polis Didakwa Menyamar Polis

Diterbitkan: Selasa, 3 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kedai membekal pakaian seragam polis pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menyamar anggota polis, tiga bulan lepas.

Rashimah Lili Mohamed Ali, 38, didakwa menyamar anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menakutkan dan memaksa seorang ahli peniagaan Mohamed Latiff Yusof, 45, membayar hutang RM24,000 kepada Nur Muhammad Abdullah, 49, yang juga ahli perniagaan.

Wanita yang mempunyai tiga anak dan hamil sebulan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan sekitar Taman Dato' Senu, Sentul di sini pada 4 petang 14 Januari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Loh Wei Dhin manakala tertuduh diwakili peguam Wan A Fadzil Wan Omar.

Tiada jaminan ditetapkan Majistret Mohd Azali Ibrahim kerana penjamin tertuduh tidak hadir dan majistret menetapkan esok untuk sebutan bagi jaminan berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan