Warga Bangladesh Bunuh Rakan Ke Tali Gantung

Diterbitkan: Jumaat, 30 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Bangladesh dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh dua rakannya, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Olier Shekh Awoyal Shekh, 28, melampaui keraguan yang musabah.

Olier Shekh, yang berdepan tiga pertuduhan, turut dihukum penjara 10 tahun kerana cuba membunuh seorang lagi rakannya.

Dalam penghakimannya, Ahmad Nasfy berkata mahkamah tidak ragu-ragu memutuskan tertuduh bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selepas meneliti semua keterangan yang dianalisis dengan terperinci mengikut undang-undang negara ini.

Olier Shekh didakwa membunuh Abdul Kadir Fazer Ali, 22, dan Shahin Md Amir Hossin, 24, di sebuah asrama pekerja di Taman Kemuning, Senawang antara pukul 2 pagi hingga 4.10 pagi pada 15 Sept 2009 mengikut Sekysen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa cuba membunuh Helal Hossain Mosharaf, berusia lingkungan 20-an, di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Olier Shekh mengejutkan Abdul Kadir dan Shahin yang sedang tidur sebelum mengelar leher serta menikam perut mereka bertubi-tubi sehingga menyebabkan kedua-duanya maut di tempat kejadian.

Tertuduh kemudian mengejutkan Helal Hossain dan turut mengelar leher serta dan menikam perutnya bertubi-tubi apabila mangsa cuba melarikan diri.

Mangsa yang cedera parah bagaimanapun selamat dan Olier Shekh yang melarikan diri selepas itu, ditahan polis di Damansara.

Dia diwakili peguam S.Vasagarajan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan