Bekas KSU Mosti Bebas 10 Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 30 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abdul Hanan Alang Endut pada Jumaat dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM59,390.60 tanpa dipanggil membela diri.

Hakim M.Bakri Abdul Majid membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Hanan, 60, yang didakwa menerima suapan-suapan itu di No 25, Jalan 17/21 Seksyen 17 Petaling Jaya dari 1 hingga 15 Dis 2008 dalam bentuk cek-cek kosong (tanpa jumlah dan tarikh) United Overseas Bank milik Adam Omar sebagai ganjaran kerana meluluskan permohonan dana oleh Global Goodway (M) Sdn Bhd.

Dia kemudian didakwa telah menunaikan cek-cek itu yang diterimanya dari 15 Disember 2008 hingga 27 Februari 2009 bagi tujuan pembaikan rumah berjumlah RM15,024, pembayaran zakat pendapatan berjumlah RM25,000, kad kredit berjumlah RM9,275, cukai taksiran bagi tiga premis sebanyak RM1,542.60, cukai tanah di Mukim Sungai Raya sebanyak RM15 dan mendepositkan RM8,000 ke dalam akaun isterinya.

Abdul Hanan didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam penghakimannya, M.Bakri berkata berdasarkan keterangan saksi ke-14 pendakwaan iaitu Adam Omar, mahkamah berpendapat adalah tidak selamat untuk memutuskan cek yang diterima oleh Abdul Hanan sebagai rasuah kerana ia lebih kepada pinjaman.

Beliau berkata terdapat perjanjian bertulis antara saksi itu dan Abdul Hanan mengenai pemberian 10 cek itu di mana Abdul Hanan akan membayar pinjaman berkenaan selepas beliau pencen dan mendapat gratuiti.

Menurutnya Adam turut memberitahu mahkamah bahawa sebelum memberikan 10 keping cek itu, dia pernah menawarkan rasuah berjumlah RM300,000 kepada Abdul Hanan tetapi bekas KSU itu menolak dan Abdul Hanan juga tidak pernah meminta rasuah daripada saksi berkenaan.

Selain itu, M.Bakri berkata antara bukti menunjukkan perbuatan Abdul Hanan bukan rasuah ialah pemberian 10 keping cek itu yang boleh dikesan oleh semua pihak dan sekiranya seseorang menerima rasuah ia akan menerimanya dalam bentuk wang tunai dan bukan dalam bentuk cek.

Beliau juga berkata Adam menerima dana berkenaan kerana layak dan bukan kerana bantuan Abdul Hanan.

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. Abdul Hanan diwakili peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Badrul Munir Bukhari dan Sarah Abishegam.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Abdul Hanan yang memakai kemeja lengan panjang putih dan berseluar hitam, bersyukur di atas pembebasannya.

"Alhamdulillah, akhirnya saya mendapat pembelaan yang sewajarnya walaupun ada peringkat seterusnya iaitu rayuan oleh pihak pendakwaan," katanya yang ditemani isteri, Datin Norihan Ahmad, anggota keluarga dan rakan-rakan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan