Curi Minyak Wangi: Lelaki Palestin Dipenjara Sehari - Berita Mahkamah | mStar

Curi Minyak Wangi: Lelaki Palestin Dipenjara Sehari

Diterbitkan: Khamis, 29 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Palestin dipenjara sehari dan didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri sekotak minyak wangi di sebuah kompleks beli-belah, tiga bulan lepas.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhi hukuman itu terhadap Mohammed N.A. Bonat, 26, kerana mencuri minyak wangi bernilai RM285 di Kedai Sephora Beauty Motion, Bangunan Suria KLCC, Jalan Ampang di sini pada 8.30 malam, 22 Januari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu, Mohammed, yang tidak diwakili peguam, ketika merayu hukuman ringan berkata dia telah kehilangan pekerjaan sebagai pelayan restoran apabila ditangkap polis pada 23 Mac lepas selain perlu menanggung teman wanitanya yang hamil tujuh bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seorang pengawal keselamatan dipenjara sehari selepas mengaku bersalah mencuri 12 tin minuman di sebuah pasar raya.

Mohd Shaufi Ismail mengaku mencuri 12 tin minuman, yang kesemuanya bernilai RM37.90 di Hospmart Hospital Kuala Lumpur di Jalan Pahang, pada 10 pagi, 28 Mac.

Majistret Nur Azura Murah memerintahkan Mohd Shaufi, 36, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap semalam. Bapa kepada lima orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rebecca Mathan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan