Curi Barang: Kerani Dipenjara Sehari

Diterbitkan: Selasa, 27 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang kerani sebuah syarikat pembinaan dihukum penjara sehari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret kerana mencuri 15 barang keperluan asas di sebuah pasar raya di Bricksfield.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Firdaus Kamaruddin, 26, selepas dia mengaku mencuri lapan peket makanan, sepeket minuman dan enam peket pencuci pakaian milik Jaya Jusco Mid Valley, yang kesemuanya bernilai RM123.67, pada 3.45 petang, 24 Mac lepas.

Firdaus didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dia diperintah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Mac.

Firdaus, yang diwakili peguam S.Narasimhan, membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarulzaman.

Terdahulu, Narasimhan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana kerjaya Firdaus tidak mengizinkan tertuduh membayar denda yang tinggi, dan dia juga terpaksa menyara keluarganya.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang pengawal keselamatan dihukum penjara enam bulan selepas mengaku menyimpan harta curi.

Mong Chee Tat, 43, didakwa menyimpan sebuah motosikal milik Kharun Anuar Arsari, 47, di bawah Blok B, Projek Perumahan Rakyat Pekan Kepong, Sentul pada 5.30 petang, 23 Mac lepas mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.

Siti Shakirah memerintahkan Mong menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 23 Mac lepas.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan