Lima Lelaki Hadapi Tuduhan Tampal Poster Hina Guan Eng & Ambiga

Diterbitkan: Isnin, 26 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Isnin terhadap tuduhan menampal poster mengandungi gambar dan perkataan berunsur penghinaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S.Ambiga.

Muhammad Nizam Ali, 24, Hamzah Mahmood, 32, Mohd Norizam Che Othman, 31, Shahir Saarani, 30, dan Mohd Jamil Jamaluddin, 36, didakwa bersama lima lagi yang masih bebas melakukan kesalahan dengan menampal di tempat awam poster mengandungi gambar dan perkataan seperti "Lim Guan Eng Racist", "Lim Guan Eng Anti Melayu" dan "Undi Ambiga Undi Seks Bebas".

Muhammad Nizam dan Hamzah, kedua-duannya penganggur, Mohd Norizam dan Shahir, kedua-duanya mekanik, dan Mohd Jamil, seorang peniaga, dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 3.40 pagi 4 Feb lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 15(2)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya.

Majistret Zulkpli Abdullah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri, manakala peguam Rezal Mazli Abdul Muin, mewakili kesemua tertuduh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan