Keputusan Mahkamah Rayuan Perintah Karpal Bela Diri Tidak Boleh Dirayu - Mahkamah Persekutuan

Diterbitkan: Isnin, 26 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal Singh membela diri terhadap pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada sidang akhbar pada 2009, tidak boleh dirayu di Mahkamah Persekutuan, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan pada Isnin.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin yang mengetuai panel lima hakim sebulat suara membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membatalkan rayuan Karpal Singh.

Hakim Zulkefli berkata keputusan Mahkamah Rayuan tidak boleh dirayu kerana kes Karpal Singh itu masih berada di peringkat Mahkamah Tinggi dan kes itu masih belum selesai sepenuhnya.

Panel itu yang turut dianggotai empat hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hasan Lah menerima hujahan yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin bahawa keputusan Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal Singh, 72, untuk membela diri tidak boleh dirayu berdasarkan ketetapan Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964.

Seksyen 3 menetapkan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayani rayuan berkaitan perkara interlokutori yang telah diputuskan semasa perbicaraan kerana keputusan itu dianggap bukan perintah muktamad dan tidak menghapuskan sepenuhnya hak pihak berkenaan.

Hakim Zulkefli juga memutuskan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan daripada segi undang-undang, sepertimana hujahan Karpal, tidak boleh dibaca secara berasingan kerana ia perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 87 CJA.

Karpal Singh sebelum itu berhujah, oleh kerana pihak pendakwaan dibenarkan merayu ke Mahkamah Persekutuan jika keputusan itu tidak memihak kepada mereka, beliau juga boleh dibenarkan berbuat demikian sepertimana termaktub dalam Perkara 8(1) yang memberi jaminan semua orang adalah sama rata daripada segi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang secara adil.

Noorin, bagaimanapun berhujah prinsip mengenai kesamarataan tidak mutlak dan menurutnya hak Karpal Singh masih belum dihapuskan sepenuhnya.

Pada 20 Jan, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan pengerusi kebangsaaan DAP itu daripada pertuduhan hasutan pada akhir kes pendakwaan tanpa memerintahkannya membela diri.

Karpal Singh didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah, di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Feb, 2009.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 30 dan 31 Mei bagi Karpal Singh membela diri.

Karpal Singh juga memfailkan permohonan bagi memohon Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusannya sendiri. Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh pendengaran. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan