Pengedar Hadapi Tuduhan Tipu Penjual Jam Tangan

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pengedar jam tangan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat kerana dituduh menipu seorang penjual barangan itu sebanyak RM162,221 kira-kira 13 tahun lepas.

Matthew Ho Wei Kit, 52, dari Kuching, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa memperdayakan Koh Sin Cheong, 51, untuk mendepositkan cek secara berperingkat berjumlah RM162,221 ke akaun miliknya di Hong Leong Bank, Pandan Indah, Ampang dekat sini, antara 9 April 1999 dan 10 Mei 1999.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ho diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie manakala Ho diwakili peguam Fahri Azzat. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan