Penggubahan Wang Haram: Dr Hamimah Dipenjara Tiga Tahun, Denda Lebih RM6 Juta

Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dr Hamimah Idruss, individu pertama di negara ini didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2011, dihukum penjara tiga tahun dan denda RM6,394,530.72 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta dan bersubahat memalsukan dokumen.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan yang dihadapi Dr Hamimah, 64, di akhir kes pembelaan.

Bagi lapan pertuduhan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2001, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan manakala bagi 10 tuduhan bersubahat, hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan hukuman penjara berjumlah 38 tahun.

Bagaimanapun, Dr Hamimah hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas Hakim Asmadi memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Dr Hamimah, bekas pengarah Syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd, menghadapi lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta antara 3 Jun hingga 10 Jun 2003, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Dia turut menghadapi 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 42, iaitu memalsukan surat perjanjian Safire Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd yang setiap satunya bernilai US$1.2 juta (RM4.56 juta), mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Terdahulu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Dr Hamimah memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kerana anak guamnya menghidap diabetes dan memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang kes berjalan selama tujuh tahun selain tiada rekod kesalahan lampau.

Timbalan Pendakwa Raya, Robert Pasang Alam pula memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan alasan kes yang dilakukan adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.

"Kes ini turut membabitkan syarikat bertaraf antarabangsa dari luar negara dan secara tidak langsung ia memberi gambaran, reputasi dan imej yang buruk kepada negara," katanya.

Robert, dalam hujahannya berkata, wang yang telah dilupuskan oleh tertuduh ialah RM6,394,530.72 dan mahkamah boleh memerintahkan supaya tertuduh membayar wang yang dilupuskan sebagai penalti.

Katanya, tertuduh juga secara jelas menggunakan kuasanya sebagai seorang pengamal perubatan ketika kesalahan dilakukan untuk memanipulasi pekerjanya, Yusaini untuk memaksanya memalsukan tandatangan Ketua Pegawai Eksekutif Pharmaniaga, Dr Effendi Tenang dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed.

Sementara itu, Hakim Asmadi membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda ke atas Dr Hamimah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Beliau memerintahkan jaminan RM800,000 terhadap Hamimah dinaikkan kepada RM1 juta dengan dua orang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Bangi sebulan sekali setiap hari Ahad serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan mengemukakan 54 saksi manakala pihak pembelaan memanggil tiga saksi termasuk tertuduh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan