AUKU: Kerajaan Dibenar Buat Rayuan

Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)untuk merayu terhadap keputusan penting mengisytiharkan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Seksyen 15 (5) akta itu melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff yang mengetuai lima panel hakim, dalam keputusan sebulat suara, membenarkan permhonan yang dibawa kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 31 Oktober tahun lepas, mengisytiharkan bahawa seksyen itu tidak sah di sisi undang-undang.

Turut sama dalam panel itu dengan Hakim Raus ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Suriyadi Halim Omar.

Mahkamah membenarkan satu persoalan undang-undang yang ditimbulkan oleh pemohon-pemohon itu untuk diputuskan dalam rayuan mereka. Persoalan sama ada Seksyen 15(5)(a) AUKU itu konsisten dengan Artikel 10(1)(a) dibaca dengan Artikel 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah undang-undang yang sah? Artikel 10(1)(a) menjamin hak warganegara untuk kebebasan bersuara dan ekspresi manakala Artikel 10(2)(a) menyatakan bahawa hak itu tidak mutlak dengan membenarkan Parlimen mengenakan sekatan, jika perlu, demi keselamatan negara, hubungan rapat dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral yang direka untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk mengadakan peruntukan menentang penghinaan terhadap mahkamah, fitnah atau hasutan bagi mana-mana kesalahan.

Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza, yang pada masa itu mahasiswa UKM, mendapat notis daripada universiti untuk hadir di hadapan Tribunal Disiplin bagi menjawab tuduhan kerana terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 24 April, 2010 dan oleh itu melanggar Seksyen 15(5) (a) akta itu.

Mereka kemudiannya memfailkan saman pemula terhadap pemohon-pemohon itu untuk mencabar berhubung tindakan UKM ke atas mereka tetapi tuntutan mereka ditolak oleh Bahagian Kuasa-kuasa Khas dan Rayuan Kuala Lumpur pada September 2010.

Mahkamah Rayuan kemudian mengukah keputusan Mahkamah Tinggi dalam keputusan majoriti 2-1 yang membawa kepada pemohon-pemohon memfailkan permohonan untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 15(5)(a) akta itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Sebelum itu, panel Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal yang dibangkitkan oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili keempat-empat mereka, bahawa perkara itu adalah akademik kerana mereka didapati tidak bersalah semasa prosiding disiplin itu dan sejak itu telah tamat pengajian.

Beliau berkata kerajaan juga berhasrat meminda akta itu berikutan keputusan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 6 Disember, tahun lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata adalah diharapkan pindaan kepada Auku dapat dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun ini.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh mempersoal bahawa perkara itu bukan akademik kerana wujudnya penghakiman Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan bahawa Seksyen 15(5)(a) sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

"Pemohon-pemohon terjejas teruk dengan keputuan itu, Perkara itu membabitkan persoalan dalam undang-undang domain awam dan bukan semata-mata undang-undang persendirian," katanya.

Amarjeet berkata perkara itu juga merupakan kepentingan awam dan ia bukan sahaja menjejaskan universiti-universiti dan mahasiswanya tetapi juga orang awam.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili UKM, berkata isu yang dibangkitkan adalah kukuh sambil menambah bahawa keputusan Mahkamah Rayuan berhubung Seksyen 15(5)(a) bukan hanya mengikat UKM tetapi juga 17 universiti yang lain yang mempunyai akta yang sama. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan