Seorang Penganggur Hadapi Tiga Pertuduhan Termasuk Rogol Pelajar

Diterbitkan: Selasa, 20 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang penganggur pada Selasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini atas tiga pertuduhan termasuk merogol seorang pelajar berusia 15 tahun, awal bulan ini.

M. Retnam, 32, dari Taman Mewah Jaya, Klang, Selangor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan merogol remaja tingkatan tiga itu dalam pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan hutan berhampuran Maktab Sains Rendah Mara (MRSM), Pondok Upeh, Balik Pulau, antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang, pada 1 Mac lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sitarun Nisa menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan keputusan DNA.

Semua pertuduhan di Mahkamah Seysen dan Majistret dibacakan dalam bahasa Tamil.

Hakim juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail untuk mengenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin kerana ia membabitkan kesalahan yang serius dan merosakkan masa depan mangsa yang masih muda.

Di Mahkamah Majistret, Retnam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyamar sebagai anggota polis dan memiliki senjata berbahaya iaitu pisau.

Dalam pertuduhan pertama, Retnam dituduh menyamar sebagai anggota polis dengan menunjukkan sekeping kad dan meminta pasport milik seorang warga Indonesia di dalam lif Pangsapuri Mutiara, Jalan Sungai Emas, Batu Feringghi, antara jam 10.30 dan 10.40 malam, pada 1 Mac lalu.

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Retnam dituduh memiliki senjata berbahaya iaitu pisau berukuran 27 sentimeter termasuk pemegang tanpa kebenaran yang sah di tempat dan masa yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Azizah Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nor Aini Yusof menetapkan 17 April ini sebagai tarikh sebutan dan penyerahan dokumen kepada pendakwa manakala tertuduh boleh dijamin dengan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan