Pengerusi Eksekutif NFCorp Mengaku Tidak Bersalah Terhadap Empat Pertuduhan

Diterbitkan: Selasa, 13 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr Mohamad Salleh Ismail (kiri) keluar meninggalkan Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Isnin.
Dr Mohamad Salleh Ismail (kiri) keluar meninggalkan Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Isnin.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin terhadap dua pertuduhan pecah amanah dan dua pertuduhan melanggar Akta Syarikat.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Akta Syarikat 1965 (Akta 165).

Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Azimul Azami merupakan pihak pendakwaan manakala pihak pembelaan yang diketuai oleh Badrul Munir Bukhari.

Terdahulu, Dzulkifli memohon di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah untuk perbicaraan bersama.

Tuduhan ke atas beliau itu melibatkan kes pecah amanah dana awam berjumlah RM49 juta daripada kerajaan persekutuan untuk tujuan pengurusan Pusat Fidlot Nasional (PFN) di Gemas, Negeri Sembilan.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa sebagai pengarah syarikat NFC melakukan pecah amanah menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan tersebut dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua pula, di alamat dan bank yang sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan salah seorang anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Untuk kedua-dua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 409 dan jika disabitkan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua hingga 20 tahun dan hukuman sebat serta denda.

Sementara itu, bagi pertuduhan pertama dan kedua mengikut Akta Syarikat, Mohamad Salleh selaku pengarah NFC didakwa tanpa kebenaran mesyuarat agung telah menggunakan harta syarikat untuk membiayai sebahagian daripada pembelian dua unit kondominium tersebut.

Bagi kedua-dua kesalahan ini, Mohamad Salleh didakwa mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000.

Peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili Mohamad Salleh meminta anak guamnya diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan sedia menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Badrul juga memberitahu mahkamah bahawa peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah akan bertindak sebagai peguam utama dan kini berada di luar negeri.

"Anak guam saya telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan pihak pendakwaan sepanjang penyiasatan sejak timbulnya kes ini dan kini berada di mahkamah untuk membersihkan namanya," kata Badrul.

Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad tidak membantah jaminan tersebut dan berkata beliau menyerahkan perkara tersebut kepada budi bicara mahkamah.

Hakim S.M. Komathy Suppiah kemudian berkata, mahkamah telah mengambil kira keseriusan kes dan jumlah wang yang terlibat serta mahkamah tidak mahu dituduh memilih kasih dalam menetapkan jaminan.

"Kes-kes seperti ini sebelum ini telah ditetapkan jaminan yang tinggi walaupun di dalam kes ini (pihak pendakwaan) tidak membantah jaminan seperti mana dicadangkan oleh pihak pembelaan," kata Komathy.

Beliau kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin, serta dokumen perjalanan Mohamad Salleh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 13 April depan.

Anak sulung tertuduh, Wan Shahinur Izmir, 32, telah membayar jaminan tersebut.

Terdahulu, ketika kesemua dakwaan dibacakan, isteri tertuduh yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut hadir bersama Izmir.

Shahrizat dan ahli keluarga yang lain kelihatan cuba menahan sebak ketika pendakwaan dibacakan terhadap Salleh.

Beliau yang kemudiannya diserbu oleh para wartawan berlalu keluar dari mahkamah tanpa mahu memberikan sebarang reaksi kepada kes ini.

Dua lagi anak mereka iaitu Izran dan Izzana yang juga merupakan anggota lembaga pengarah syarikat yang penuh kontroversi itu tidak kelihatan sepanjang prosiding itu berlangsung.

Shahrizat semalam (Ahad) telah pun mengumumkan keputusannya untuk berundur dari jawatannya sebagai menteri menjelang 8 April nanti.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan