Rasuah: Pemaju Tanah Diperintah Bela Diri

Diterbitkan: Isnin, 12 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Seorang pemaju tanah diperintah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan memberi rasuah kepada penawar berdaftar lelongan awam pada 2005.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Toe Boon Hoo dan menetapkan 12 hingga 15 Mei depan untuk menyambung perbicaraan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata kes itu merupakan yang pertama di negara ini membabitkan penawar berdaftar pada lelongan awam.

Teo, 44, pemilik syarikat Teobros Sdn Bhd, didakwa memberi sekeping cek bernilai RM20,000 kepada Poh Geok Seng dan Ngo Eng Yu di Pejabat Tanah dan Daerah Alor Gajah pada 16 Disember 2005, sebagai dorongan agar mereka tidak bersaing dengannya.

Tertuduh kemudian berjaya memperoleh tanah lelong yang beralamat di Lot 577, GM169, Mukim Durian Tunggal, Alor Gajah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwaraya Kelvin Morales dan Wong Poi Yoke manakala Teo diwakili peguam Wong Kian Kheong. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan