Peguam Didenda RM3,000 Menghalang Polis Menjalankan Tugas

Diterbitkan: Jumaat, 9 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang peguam didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana dengan sengaja menghalang seorang pegawai polis daripada menjalankan tugasnya tahun lepas.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman denda ke atas M.P.Sukathan, 41, selepas dia mengaku bersalah menghalang Cif Insp Nasir Ismail, 33, daripada menjalankan tugasnya di Online Pub & Restaurant, No 32, Jalan SS20/10, Damansara, di sini pukul 2 pagi pada 7 Ogos 2011.

Manakala pemilik Online Pub & Restaurant, B. Colin, 47, juga dihadapkan atas tuduhan sama, tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan.

Ahmad Solihin membenarkan Colin mengikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 April bagi sebutan kes.

Timbalan Pendakwaraya Siti Ruvinna Mohd Rawi menjalankan pendakwaan manakala Sukathan diwakili Datuk Sureth Singh dan Colin tidak mempunyai peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan