Dua Individu Didakwa Atas Kesalahan Rasuah - SPRM

Diterbitkan: Jumaat, 9 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal dijatuhi hukuman penjara sehari serta denda RM3,000 oleh Mahkamah Seksyen Seremban 2 setelah mengaku bersalah di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, tertuduh Raja Philip, 31, telah memberi rasuah kepada seorang anggota polis Lans Koperal Norfazlizan Mat Zain pada 6 Mac lepas pukul 8.45 malam di hadapan Flat Seremban Putra, Seremban.

"Tertuduh melakukannya sebagai dorongan untuk tidak dikenakan saman terhadapnya kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan," kata SPRM.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi dan pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hanafi Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kenyataan berasingan, SPRM berkata seorang kerani Naumen Bacheh, 49, dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Seksyen Tuaran, Sabah setelah disabitkan atas dua kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Bagi pertuduhan pertama, Naumen telah menerima rasuah sebanyak RM500 daripada Lo Tat Sin pada 10 Sept 2009 pukul 11.10 pagi bagi mempercepatkan proses pengesahan taraf bumiputera anak-anak pemberi rasuah tersebut.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah bersetuju menerima suapan berjumlah RM400 daripada individu sama pada 1 Disember 2009 pukul 4.30 petang di Restoran makanan segera KFC bagi tujuan yang sama.

SPRM berkata, perbicaraan dijalankan di hadapan Yang Arif Hakim Duncan Sikodol dan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Joyce Blasius manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela Datuk Maijol Mahad.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, seseorang boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan