Nasib Empat Tertuduh Kes Bunuh Sosilawati Diketahui 30 April

Diterbitkan: Khamis, 8 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 30 April ini untuk memutuskan sama ada bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap tuduhan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir juga menetapkan 4 dan 5 April ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujah masing-masing.

Akhtar menetapkan kesemua tarikh berkenaan selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff bahawa pihak pendakwaan menutup kes setelah 108 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan.

Ishak juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menawarkan 78 saksi termasuk pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin kepada pihak pembelaan.

Sebanyak 713 eksibit ditender sepanjang perbicaraan 71 hari mulai 4 Julai tahun lepas.

Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Khatavarayan dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Selain Ishak, barisan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd Ghani, Siti Rohaida Che Hamid dan Nur Azimul Azami Mohamad Nor, sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Puspha Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Datuk Ng See Teong manakala Khatavarayan diwakili peguam Ravi Nekoo.

Terdahulu, Akhtar membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mengemukakan rekod prosiding rayuan dan semakan dua saksi pendakwaan, U.Suresh dan K. Sarawanan sebagai eksibit di mahkamah.

Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di penjara Sungai Udang, Melaka kerana melupuskan bahan bukti berkaitan kes pembunuhan itu.

Akhtar berkata, dokumen berkenaan tidak relevan dalam perbicaraan sekiranya Suresh dan Sarawanan mengakui isi kandungannya.

Bagaimanapun, beliau berkata memandangkan kedua-dua saksi pendakwaan terbabit tidak mengakui kandungan dokumen berkenaan, rekod prosiding rayuan dan semakan itu menjadi relevan.

Pihak pembelaan pada Rabu membantah cubaan pihak pendakwaan untuk mengemukakan rekod prosiding rayuan serta semakan termasuk fakta kes Suresh dan Sarawanan melalui saksi ke-105 pendakwaan, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Norhayati Mohamad Yunus.

Ishak, ketika mengemukakan permohonan itu, berkata dokumen berkenaan boleh digunakan dalam perbicaraan memandangkan nama keempat-empat tertuduh turut disebut dalam fakta kes selain beberapa isu seperti tempat dan masa kejadian serta bagaimana mangsa meninggal dunia.

Ketika mengemukakan bantahan, Manjeet berkata, dokumen itu hanya boleh digunakan terhadap Suresh serta Sarawanan dan bukan dalam perbicaraan itu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan