Kampung Medan: 7 Gagal Peroleh Kebenaran Rayuan

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tujuh individu yang cedera dalam pergaduhan di Kampung Medan 11 tahun lepas, gagal memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman mereka terhadap polis dan kerajaan yang didakwa cuai serta melanggar kewajipan statutori.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria, sebulat suara menolak permohonan R.Suresh, A Anbalakan Aynan, A. Velappan, B. Janakan, P. Tamil Selbam, V.Subramaniam dan V.Muniandy, tanpa kos.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah.

Pada 12 Mei 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman yang difail tujuh perayu itu selepas mendapati mereka gagal membuktikan bahawa polis tidak memenuhi tanggungjawabnya mengikut Akta Polis 1967.

Perkara itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Nov tahun lepas.

Ketujuh-tujuh perayu, yang merupakan penduduk di kawasan berlakunya pergaduhan itu, memfailkan saman sivil terhadap bekas Ketua Polis Petaling Jaya SAC Sheikh Mustafa Sheikh Ahmad, bekas Ketua Polis Selangor Datuk Nik Ismail Nik Yusof, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Mereka menuntut ganti rugi untuk kecuaian dan pelanggaran kewajipan statutori mengikut Akta Polis.

Dalam penyata tuntutan mereka, ketujuh-tujuh perayu berkata keempat-empat defendan itu gagal mengambil tindakan segera untuk mengawal keadaan kecoh, rusuhan dan keganasan di kawasan berkenaan dan oleh itu gagal menjamin keselamatan mereka.

Akibatnya, kata perayu, mereka diserang sekumpulan 20 hingga 30 orang yang melakukan rusuhan di kawasan itu menggunakan senjata termasuk parang, pisau, kayu hoki, kayu dan batang besi hingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan perubatan.

Ketujuh-tujuh mereka mendakwa kononnya defendan juga gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan yang bertindak ganas terhadap mereka itu, yang mengakibatkan wujud risiko berlaku kecederaan serius.

Mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, serta ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. Kejadian berasingan itu berlaku antara 8 dan 22 Mac 2001 di Petaling Jaya Selatan dan Batu 12 Puchong.

Dalam penyata bela diri mereka, defendan berkata mereka sentiasa menjalankan tugas rasmi masing-masing mengikut undang-undang untuk menjamin keselamatan dan memberi perlindungan kepada semua rakyat Malaysia, termasuk perayu, tanpa memihak kepada sesiapa.

Defendan juga menafikan yang mereka lalai dan tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing. Malah, defendan berkata mereka mengambil langkah yang sewajarnya untuk memelihara keamanan, keselamatan dan memberi perlindungan kepada orang di kawasan terbabit dengan menempatkan para pegawai polis di sana dan melakukan rondaan di sepanjang jalan utama di kawasan itu.

Ketujuh-tujuh perayu diwakili peguam M. Manogaran manakala Peguam Kanan Persekutuan Siti Badariah Md Yusoff mewakili polis dan Kerajaan Malaysia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan