Tiada Waran Tangkap Ke Atas Suri Rumah Yim Pek Ha - Mahkamah Rayuan

Diterbitkan: Isnin, 5 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan gagal buat kali kedua dalam memujuk Mahkamah Rayuan supaya mengeluarkan waran tangkap terhadap suri rumah Yim Pek Ha dalam usaha memaksanya menghadiri perbicaraan rayuan balas atas sabitan menyebabkan kecederaan teruk ke atas pembantu rumahnya rakyat Indonesia, Nirmala Bonat pada 2004.

Tiga anggota panel yang diketuai Hakim Datuk K N Segara memutuskan bahawa mahkamah perlu menghormati satu laporan perubatan oleh perunding psikiatrik Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) Dr Subash Kumar Pillai yang menyatakan bahawa ibu kepada empat anak itu tidak sihat untuk menghadiri mana-mana prosiding mahkamah antara 2 Mac dan 2 Jun.

Hakim menetapkan 18 Jun sebagai tarikh pendengaran berikutnya dan menasihatkan peguam utama Yim, Datuk Jagjit Singh untuk menasihatkan anak guamnya supaya tidak lagi melewat-lewatkan perkara itu.

Dua lagi anggota panel itu ialah Hakim Datuk Azhar Mohamed dan Datuk Linton Albert.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abas membantah permohonan Jagjit untuk menangguhkannya disebabkan keadaan kesihatan Yim.

Abazafree memberitahu panel hakim bahawa ini bukan kali pertama peguam responden (Yim) mengemukakan laporan perubatan doktor yang sama dan menyatakan alasan sama.

"Setiap kali (peguam) mereka hanya memaklumkan kami mengenai ketidakhadiran Yim pada sebelah pagi tarikh pendengaran.

"Mahkamah ini patut menghentikannya dengan mengeluarkan satu waran tangkap ke atas responden," kata Abazafree.

Dalam suratnya, perunding psikiatrik UMSC menyatakan bahawa tidak banyak perubahan bagi keseluruhan keadaannya di mana Yim merasakan "fikirannya sangat terganggu dan kemurungan" dan "berfikir secara pasif untuk membunuh diri".

Perunding itu juga menyatakan bahawa Yim tidak sihat untuk hadir di mahkamah pada waktu ini disebabkan keadaannya yang teruk dan akan pulih semula dalam tiga hingga enam bulan selepas itu.

Yim, 44, menghadapi empat pertuduhan menyebabkan kecederaan teruk terhadap pembantu rumahnya Nirmala Bonat di apartmennya di Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.

Dia didapati bersalah dan dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas tiga kesalahan menyebabkan cedera teruk terhadap Nirmala menggunakan seterika panas dan air panas tetapi dibebaskan bagi pertuduhan keempat kerana menyebabkan kecederaan kepada pembantu rumah itu dengan cawan logam.

Bagaimanapun, atas rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tempoh hukuman penjaranya dikurangkan kepada 12 tahun.

Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan kesalahannya untuk pertuduhan pertama dan kedua tetapi membebaskannya atas pertuduhan ketiga.

Mahkamah Tinggi juga membatalkan satu pembebasan oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan keempatnya kerana mematahkan hidung pembantu rumahnya itu dengan cawan keluli. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan