Mohamad Sabu, Tian Chua, Gopala Dan 13 Lain Diperintah Bela Diri

Diterbitkan: Khamis, 1 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu serta Anggota Parlimen Batu, Tian Chua dan Anggota Parlimen Padang Serai N. Gopalakrishnan dan 13 orang yang lain pada Khamis diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini membela diri terhadap pertuduhan mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram di sini pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha berkata setelah meneliti hujahan rayuan yang dikemukakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 19 Nov 2010, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh dan mengetepikan keputusan melepas dan membebaskan mereka sebelum ini.

Beliau mengarahkan kesemua tertuduh membela diri masing-masing di hadapan hakim perbicaraan Datuk Jagjit Singh pada satu tarikh yang ditetapkan nanti dan membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang.

Hakim Ghazali berkata hakim Mahkamah Sesyen berkenaan telah terkhilaf di dalam penghakimannya kerana telah gagal mengambil kira keterangan-keterangan saksi pendakwaan terutamanya pegawai dan anggota polis yang membuat penangkapan, dan tangkapan berkenaan telah disokong dengan keterangan video.

"Keterangan video adalah keterangan yang baik untuk menyokong bahawa kesemua tertuduh telah mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dengan memakai T-Shirt warna kuning dan telah gagal bersurai apabila diarah oleh pihak polis," katanya.

Hakim Ghazali berkata keterangan saksi-saksi pendakwaan tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana tindakan mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu telah menyebabkan gangguan lalulintas yang serius dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

Mohamad Sabu, 57, dan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 39, menghadapi dua pertuduhan iaitu tuduhan utama dan tuduhan pilihan.

Bagi tuduhan utama, mereka didakwa bersama-sama sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan boleh membawa kepada kemudaratan awam.

Bagi tuduhan pilihan, mereka didakwa bersama-sama mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut dan didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi setahun, jika sabit kesalahan.

Mohamad Sabu dan Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Istana Baru di sini pada 3.05 petang 10 Nov 2007. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan