Seorang Lelaki Didakwa Sebabkan Kematian Jurutera

Diterbitkan: Rabu, 29 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang lelaki pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang jurutera yang mayatnya diikat pada sebatang pokok dalam sebuah kebun getah di sini pada Ogos 2010.

Danarush Johnson, 21, yang berasal dari Batu Pahat, Johor didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Victor Liew Shan Horng, 38.

Kesalahan itu didakwa dilakukan bersama seorang remaja yang telah dituduh di mahkamah sebelum ini, di sebuah kebun getah berhampiran Jalan Kubur, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di sini antara pukul 9.05 pagi dan 11.40 pagi, 25 Ogos 2010.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Victor di sebuah kebun kolam di Jalan Nagasari 36/1A, Taman Desa Latania, Seksyen 36 di sini pukul 9.05 pagi 22 Ogos 2010.

Dia didakwa melarikan sebuah kereta Volvo, dua keping kad pengeluaran wang automatik dan wang tunai RM300 menjadikan jumlah kerugian RM8,000.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, tertuduh juga boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menetapkan 28 Mac depan untuk penyerahan dokumen dan melantik peguam dan mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin untuk kesalahan di bawah Seksyen 395 tetapi tidak menetapkan sebarang jaminan bagi kesalahan Seksyen 304.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada Feb 2011, seorang remaja yang masih di bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan sama.

Pada 26 Ogos 2010, media melaporkan mayat Victor ditemui dalam keadaan terikat di sebatang pokok dan ditemui oleh seorang penoreh getah, lengkap berpakaian dengan kesan luka di tangan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum ditemui.

Mangsa dilaporkan hilang ketika sedang memancing di Desa Latania dan siasatan polis mendapati wang sebanyak RM6,000 dikeluarkan daripada akaun bank mangsa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan