Pengarah Syarikat Bebas Tuduhan Pecah Amanah RM7.5 Juta

Diterbitkan: Sabtu, 25 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pelaburan hartanah hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan RM7.5 juta milik seorang ahli perniagaan 17 tahun lepas.

Hakim Datuk Jagjit Singh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes keraguan munasabah terhadap Datuk Abdul Rashid Maidin, 57, di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Jagjit berkata keterangan tertuduh boleh dipercayai berbanding daripada keterangan pengadu kes itu, Lian Mong Yee, 60, yang merupakan saksi pertama pendakwaan.

"Terdapat kekeliruan sama ada transaksi tersebut adalah pelaburan atau pinjaman manakala persoalan baki tuntutan yang belum dibayar itu merupakan satu pertikaian sivil dan perkara untuk penyelesaian berhubung tuntutan itu perlu dibuat di Mahkamah Sivil," katanya.

Pada 20 Oktober 2009, Abdul Rashid didakwa telah menyalahgunakan wang kepunyaan Lian berjumlah RM7.5 juta untuk kegunaan sendiri sedangkan wang itu diserahkan oleh Lian kepada Abdul Rashid untuk menguruskan pembelian dan pemindahan saham dalam Syarikat Sempurna Cekap Sdn Bhd.

Abdul Rashid didakwa melakukan perbuatan itu di Sempurna Cekap Sdn Bhd, di Wisma Talam, Jalan Kampung Attap, di sini pada 20 Okt 1995 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau sebat atau boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Nazrul Nizam Zameri dan Izalina Abdullah manakala Abdul Rashid diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan