Rasuah:Mahkamah Tinggi Kekalkan Penjara 14 Hari, Denda RM10,000 Terhadap Koperal

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 terhadap seorang anggota polis trafik berpangkat Koperal yang didapati bersalah menerima rasuah RM180 empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Nordin Muhamad Nor untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda itu yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Jun tahun lepas.

Mohd Zaki dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen telah memberi pertimbangan yang betul dengan keputusannya itu.

Nordin, 46, didapati bersalah menerima suapan wang tunai RM180 sebagai dorongan tidak menyaman Khoo Shu Shan atas kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen dan tamat cukai jalan di Bulatan Teluk Wanjah di sini pada 1 Nov 2008 kira-kira pukul 6.40 petang.

Nordin yang diwakili peguam H.T. Saw didapati bersalah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Hakim bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu keputusan mahkamah rayuan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan