Tajudin, Danaharta Dalam Proses Capai Penyelesaian

Diterbitkan: Selasa, 14 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli kini dalam proses memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd dan dua anak syarikatnya berkaitan satu saman sivil melibatkan hutang RM589 juta.

Peguam Lim Kian Leong, yang mewakili Tajudin, memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa bahawa anak guamnya memerlukan masa untuk menyelesaikan "masalah kecil yang muncul pada saat-saat akhir" berkaitan prosedur pelaksanaan penyelesaian itu.

"Anak guam saya percaya perkara ini (kes berkenaan) boleh diselesaikan," kata Lim, yang memohon mahkamah menangguhkan rayuan itu hingga esok untuk membolehkan mereka menyelesaikan beberapa perkara berkaitan prosedur.

Lim memberitahu mahkamah bahawa Tajudin juga yakin "perkara yang muncul pada saat-saat akhir" itu akan dapat diselesaikan.

Berikutan itu, panel tiga hakim yang dianggotai Hakim-hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, membenarkan permohonan Lim agar kes rayuan itu ditangguh hingga esok.

Hakim Abu Samah berkata mahkamah akan memberi peluang kepada Tajudin dan Danaharta untuk mencari penyelesaian serta "mendoakan yang terbaik untuk mereka".

Peguam Ganesan Nethi, yang mewakili Pengurusan Danaharta, bersetuju dengan penangguhan itu dan berkata beliau menerima arahan daripada anak guamnya berhubung penyelesaian berkenaan kerana kedua-dua pihak mahu memuktamadkan perkara berkaitan terma penyelesaian.

Bagaimanapun, 38 pihak lain yang dinamakaan dalam tuntutan balas melibatkan RM13.46 bilion yang dikemukakan Tajudin, termasuk pentadbir khas Naluri Corporation Bhd Mohamad Raslan Abdul Rahman, Ooi Woon Chee dan Gan Ah Tee, Telekom Malaysia Berhad, Telekom Enterprise Sdn Bhd. Technology Resources Industries Berhad, Celcom (Malaysia) Sdn Bhd, Commerce International Merchant Bankers Berhad (CIMB), Atlan Holdings Bhd dan Atlan Properties Sdn Bhd, membantah penangguhan itu.

Para peguam yang mewakili pihak berkenaan menyokong permohonan peguam Lambert Rasaratnam yang mewakili Telekom dan Celcom agar Lim memberi jaminan bahawa tuntutan balas terhadap mereka akan ditarik balik.

Lim membalas permintaan mereka dengan berkata : "Sekiranya saya boleh memberi jaminan, saya dengan rasa penuh gembira akan berbuat demikian, tapi jaminan paling baik yang boleh saya berikan ialah anak guam saya (Tajudin) percaya perkara ini boleh diselesaikan".

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Arshad, yang mewakili kerajaan Malaysia, pihak yang turut dinamakan dalam tuntutan balas berkenaan, tidak membantah penangguhan itu.

Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan yang dikemukakan oleh Tajudin selama tiga hari bermula hari ini, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009 yang memerintahkan beliau membayar RM589 juta kepada Pengurusan Danaharta, yang menguruskan pinjaman tidak berbayar akibat hutang yang beliau tanggung dalam pembelian saham MAS.

Tajudin diperintah membayar kepada Pengurusan Danaharta dan dua anak syarikatnya jumlah asas pinjamannya pada 31 Dis 2005 sebanyak RM589,143,205.57 serta faedah 2 peratus di atas kadar berian pinjaman asas Malayan Banking Bhd dari 1 Jan 2006 hingga selesai semuanya.

Dalam kenyataan tuntutannya, Tajudin berkata Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) mengarahkan beliau membeli 32 peratus kepentingan dalam MAS untuk menyelamatkan Bank Negara yang mengalami kerugian dalam tukaran asing. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan