Lelaki Pukul Ibu Dengan Penyapu Dibebas Dengan Bon Kelakuan Baik

Diterbitkan: Selasa, 14 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki, menghidap penyakit skizofrenia, yang memukul ibunya dengan batang penyapu dibebaskan Mahkamah Majistret di sini dengan bon kelakuan baik tanpa cagaran selama dua tahun dan diperintahkan menjalani rawatan sebulan sekali di Hospital Sultanah Nur Zahirah dalam tempoh itu.

Ahmad Shukri Abdul Razak, 55, yang menghidap penyakit penyakit mental kronik itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana memukul ibunya, Salasiah Muda, 74 tahun dengan batang penyapu.

Kejadian berlaku di kediaman dua beranak itu di Lot 30, Kampung Atas Tol, di sini pada pukul 11 malam, 21 Julai lalu. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Majistret Abdul Hayyi Salim ketika menjatuhkan hukuman berkata mahkamah mengambil kira laporan perubatan daripada Hospital Permai yang mendapati pada masa kejadian fikiran tertuduh dalam keadaan kurang siuman dan tidak sedar perbuatannya adalah salah di sisi undang-undang.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Miky Dunstan Muda.

Tertuduh yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dikatakan naik marah dan menjerit 'bising' ketika ibunya sedang menonton televisyen pada malam kejadian.

Kejadian pukul itu bukan kali pertama dan tertuduh sebelum ini pernah mencederakan anggota keluarga yang lain dan jiran-jirannya.

Dia juga pernah mendapat rawatan sakit mental di Hospital Hulu Terengganu, sebelum ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan