Saman Fitnah Ke Atas Zulkifli, Utusan September Depan

Diterbitkan: Jumaat, 10 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat menetapkan dua hari mulai 24 Sept untuk mendengar saman fitnah yang difailkan oleh bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari terhadap Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusuf menetapkan tarikh itu selepas berjumpa kedua-dua belah pihak di dalam kamarnya bagi pengurusan kes itu, Jumaat.

Peguam Rohanidah Shafee yang mewakili Utusan Melayu memberitahu pemberita hakim memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen berkaitan bagi perbicaraan kes itu sebelum 13 April.

Pada 22 Dis tahun lepas, Abdul Aziz memfailkan saman menamakan Zulkifli, yang juga seorang peguambela dan peguamcara; Ketua Pengarang kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan juga akhbar Mingguan Malaysia Datuk Abdul Aziz Ishak; dan Utusan Melayu sebagai defendan.

Beliau mendakwa Zulkifli pada 17 Okt 2011 telah mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya yang kemudiannya diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia sehari selepas itu.

Abdul Aziz mendakwa kata-kata fitnah itu adalah secara langsung merujuk kepadanya kerana nama dan jawatannya telah disebut secara spesifik dalam artikel itu.

Beliau berkata kata-kata fitnah itu di dalam makna asal dan biasa bermaksud beliau antara lain adalah seorang individu dan profesor undang-undang yang kurang ajar dan biadab serta tidak layak menjadi pensyarah undang-undang.

Abdul Aziz menuntut ganti rugi am, teladan, melampau, kos dan satu perintah supaya defendan-defendan meminta maaf dan menarik balik tuduhan fitnah itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan