Rayuan Kes Bunuh Altantuya Masih Belum Dapat Difailkan

Diterbitkan: Jumaat, 10 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tarikh pendengaran rayuan dua pegawai polis yang disabitkan kesalahan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu masih belum ditetapkan berikutan seorang daripada mereka iaitu Cif Insp Azilah Hadri masih belum memfailkan petisyen rayuannya.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Kanageswari Nalliah menetapkan 9 Mac untuk tarikh pengurusan kes akan datang bagi membolehkan peguam yang mewakili Azilah mendapatkan semua rekod rayuan dan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya memfailkan petisyen rayuan.

Peguam yang mewakili Azilah, J. Kuldeep Kumar berkata petisyen rayuan tidak dapat difailkan kerana beliau hanya menerima 40 jilid daripada 57 jilid dokumen itu.

Katanya, ini kerana mahkamah telah menghantar dokumen itu kepada Azilah di penjara.

Kuldeep Kumar berkata dokumen itu kemudiannya dihantar kepadanya secara berperingkat dalam tempoh enam bulan lepas dan menurutnya beliau akan mendapatkan baki 17 jilid lagi dokumen itu daripada mahkamah.

Sementara itu, peguam Kitson Foong yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar berkata tarikh pendengaran itu akan hanya ditetapkan oleh mahkamah untuk mendengar rayuan itu apabila semua dokumen dikemukakan di mahkamah.

Katanya, petisyen rayuan untuk Sirul Azhar telah difailkan dan beliau sedang menimbangkan untuk memfailkan alasan rayuan tambahan.

Kitson dan peguam Lim Kon Keen mewakili Sirul Azhar. Timbalan Pendakwa Raya Devinderjit Kaur mewakili pihak pendakwaan.

Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April, 2009, selepas mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam pada 18 Oktober 2006, dan 9.45 malam hari berikutnya.

Perbicaraan kes mereka berlangsung selama 159 hari. Kedua-dua mereka yang merupakan anggota komando Unit Tindakan Khas polis, kemudiannya memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, dituduh bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan wanita Mongolia itu. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008, tanpa dipanggil membela diri.

Azilah dan Sirul memberikan keterangan dalam pembelaan mereka, dengan Azilah memberikan keterangan dari kandang saksi manakala Sirul dari kandang tertuduh.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mendapati pembelaan oleh kedua-dua mereka hanya berupa "penafian dan saling menyalahkan sesama sendiri".

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan