Pekebun Nepal Bebas Tuduhan Bunuh

Diterbitkan: Jumaat, 10 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pekerja kebun warganegara Nepal pada Jumaat terselamat dari tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini membebaskannya daripada tuduhan membunuh seorang wanita setelah didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan itu tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Akhtar Tahir memerintahkan Suraj Bahadur Sunar, 25, ditempatkan sementara di Hospital Permai, Johor Baharu, selama tempoh yang diperkenan Sultan Selangor.

Dia didakwa membunuh M.Indra Rani, 50, di belakang reban ayam Lot 979, Jalan Ulu Kalong, Kampung Ulu Kalong, Hulu Selangor, antara 8 pagi dan 10.45 pagi pada 15 Mac 2009.

Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, leher mangsa hampir putus akibat dikelar dengan pisau.

Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar berkata tidak dinafikan bahawa tertuduh telah membunuh mangsa tetapi persoalan yang timbul ialah mengenai keadaan mental tertuduh semasa kejadian itu.

Beliau berkata abang tertuduh telah memberi keterangan di mahkamah bahawa Suraj Bahadur mempunyai masalah mental sejak kecil dan keluarganya pernah menghantarnya mendapatkan rawatan sebelum ini.

Katanya beliau tiada alasan untuk meragui keterangan abang tertuduh dan beliau mendapati abangnya adalah saksi yang boleh dipercayai.

Hakim itu berkata Pemangku Pengarah Hospital Mental Lagankhel di Lalitpur, Nepal, Dr Surendra Sherchan dalam keterangannya juga mengesahkan bahawa tertuduh pernah dirawat kerana mengalami simptom masalah mental yang teruk iaitu 'mental disorder with severe degree of psychotic features'.

"Walaupun tertuduh telah sembuh tetapi dia sudah lama tidak menemui doktor itu, justeru saya terima bahawa tertuduh mengalami masalah mental.

"Saya juga terima keterangan doktor bahawa penyakit ini berkemungkinan besar boleh berulang kembali dalam tempoh masa yang singkat jika ia dicetuskan oleh perkara tertentu. "Fakta bahawa tertuduh meminjam wang dari mangsa dan mangsa telah mendesak tertuduh untuk memulangkan wangnya serta mengugut untuk memberitahu majikan tertuduh mungkin menjadi faktor tertuduh melakukan perbuatan itu (bunuh)," katanya.

Sepanjang perbicaraan itu, seramai 14 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin sementara tertuduh diwakili peguam K A Ramu. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan