Bicara Kes Hasutan Karpal Ditetapkan 30 Mei

Diterbitkan: Khamis, 9 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 dan 31 Mei untuk perbicaraan kes peguam Karpal Singh yang diperintah membela diri atas tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Hakim Azman Abdullah menetapkan tarikh tersebut selepas kes itu disebut di hadapannya hari ini setelah Mahkamah Rayuan memerintahkan Ahli Parlimen Bukit Gelugur itu membela diri.

Karpal yang diwakili peguam Gobind Singh Deo sebelum itu memohon penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu yang memerintahnya membela diri.

Terdahulu Gobind memberitahu bahawa pihaknya telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 26 Januari lalu dan memerlukan masa sementara menunggu keputusan.

Tambahnya, pada perbicaraan kelak Karpal akan memberi keterangan secara bersumpah. Pada 20 Januari lalu Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Karpal pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya membela diri.

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Maarop, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Jun tahun 2010 yang telah melepas dan membebaskan Karpal daripada tuduhan mengeluarkan perkataan fitnah tanpa memerintahkannya membela diri.

Karpal dituduh mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari, 2009. Beliau didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan notis usul untuk mengetepikan rayuan Karpal pada 2 Februari lalu dan berkemungkinan didengar sebelum tarikh perbicaraan pada Mei ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan