Mahkamah Rayuan Putuskan Hak, Kebebasan Bersuara Tidak Mutlak

Diterbitkan: Rabu, 8 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan walaupun Karpal Singh seorang anggota Parlimen dan peguam kanan terkenal berhak membuat ulasan politik dan memberi pandangan mengenai perlembagaan dan undang-undang, hak dan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan itu tidak mutlak.

Hakim Datuk Ahmad Ma'arop, di dalam penghakimannya setebal 105 mukasurat, berkata kebebasan bersuara yang dijamin itu bererti seseorang itu berhak bercakap, menulis atau menerbitkan apa yang disukainya asalkan tidak melanggar undang-undang.

Oleh itu, katanya, apa yang dinyatakan oleh Karpal Singh dalam satu sidang akhbar pada tahun 2009 mengenai Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung krisis politik di negeri itu telah melepasi garis yang memisahkan pernyataan perkataan-perkataan yang dibenarkan oleh undang-undang dengan pernyataan perkataan-perkataan menghasut.

Hakim Ahmad juga berkata pendakwaan hanya perlu membuktikan bahawa perkataan-perkataan yang dinyatakan oleh Karpal Singh mempunyai kecenderungan menghasut.

Katanya pendakwaan tidak perlu membuktikan bahawa perkataan-perkataan tersebut telah menyebabkan keganasan sebenar atau reaksi 'adverse' sebenar.

Tambah hakim Ahmad, sama ada kenyataan Karpal Singh benar atau tidak, adalah tidak material.

"Dalam mempertimbangkan persoalan sama ada perkataan-perkataan responden (Karpal Singh) itu menghasut atau tidak, pandangan saksi-saksi yang mendengar perkataan-perkataan tersebut bukan penentunya dan sebenarnya adalah tidak relevan.

"Mahkamahlah yang mesti memutuskan sama ada perkataan-perkataan responden itu menghasut atau tidak," katanya.

Pada 20 Jan lalu, Hakim Ahmad yang mempengerusikan panel tiga hakim telah memerintahkan Karpal Singh membela diri terhadap tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada sidang akhbar pada 2009.

Panel itu yang turut dianggotai dua Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Jun tahun 2010 yang telah melepas dan membebaskan Karpal Singh daripada tuduhan itu tanpa memerintahkannya membela diri.

Karpal Singh dituduh mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Feb, 2009.

Beliau didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah Rayuan pada Jan 20 lalu, telah menetapkan esok untuk sebutan kes Karpal di Mahkamah Tinggi.

Di dalam penghakimannya itu, hakim Ahmad berkata perkataan-perkataan yang dinyatakan Karpal Singh mempunyai kecenderungan bagi mempersoalkan kuasa prerogatif Sultan Perak yang dilindungi di bawah Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Ahmad berkata tiada keraguan di fikiran panel itu bahawa sidang akhbar tersebut dibuat dengan niat atau sekurang-kurangnya dengan harapan supaya apa yang dinyatakan dalam sidang akhbar tersebut akan disiarkan.

Dalam sidang akhbar itu, beliau berkata Karpal Singh telah berulang kali menyatakan perkataan-perkataan yang jelas membawa pengertian bahawa Sultan Perak melanggar undang-undang, tidak mengikut undang-undang atau tidak menghormati undang-undang.

"Responden (Karpal) bukan setakat mempersoalkan kuasa Sultan Perak, malah beliau telah memberi peringatan tegas kepada baginda supaya menghentikan tindakan baginda untuk melantik Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang baru.

Peringatan tegas tersebut diikuti dengan pemberian kata dua kepada baginda," katanya.

Hakim Ahmad berkata kata-kata Karpal Singh yang memberi peringatan tegas dan pemberian kata dua kepada Sultan Perak, telah melampaui batas-batas peradaban dalam hubungan antara Raja dengan rakyat serta mempunyai kecenderungan bagi merendahkan martabat Sultan Perak.

Malah, katanya kata-kata Karpal Singh juga mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap baginda. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan