Kes Sosilawati: Profil DNA Tiga Mangsa Ditemui Pada Kayu Kriket, Kepingan Zink

Diterbitkan: Rabu, 1 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu profil DNA tiga mangsa dalam kes bunuh membabitkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya ditemui pada sebatang kayu kriket dan tiga kepingan zink.

Pengarah bahagian forensik Jabatan Kimia Lim Kong Boon berkata profil DNA Noorhisham Mohamad diperoleh daripada kesan darah pada kayu kriket.

Beliau berkata profil DNA itu dikenal pasti selepas membandingkan kesan darah yang ditemui pada kayu kriket dengan spesimen darah milik ibu Noorhisham, Satinah Mokhtar.

"Penderma spesimen darah berlabel 'Satinah Hj Mokhtar' merupakan ibu biologi kepada sumber DNA yang dikenal pasti daripada kesan darah pada kayu kriket.

"Selain itu, sumber DNA yang dikenal pasti daripada kesan darah pada kayu kriket dan penderma spesimen darah berlabel 'Suzana Radin Pangat' (isteri Noorhisham) merupakan bapa dan ibu biologi kepada penderma spesimen darah berlabel Muhammad Azri Shahzan Noorhisham', 'Nur Aneesa Salbiah Noorhisham' dan 'Muhammad Faiz Ridzmi Noorhisham'," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani.

Lim, saksi ke-86 pendakwaan, memberi keterangan pada hari ke-62 perbicaraan kes bekas peguam N.Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding Selasa, saksi itu berkata kebarangkalian bahawa sumber DNA yang dikenal pasti daripada kesan darah pada kayu kriket merupakan anak biologi kepada Satinah, selain bapa biologi kepada Muhammad Azri Shahzan, Nur Aneesa Salbiah dan Muhammad Faiz Ridzmi, melebihi 99.9999 peratus seperti kiraan berdasarkan pangkalan data penduduk Malaysia berbangsa Melayu.

Lim juga berkata profil DNA Kamaruddin diperoleh daripada kesan darah pada kepingan zink berdasarkan perbandingan dengan spesimen darah milik ibunya, Zainab Ahmad.

"Penderma spesimen berlabel 'Zainab Ahmad' adalah konsisten sebagai ibu biologi kepada sumber DNA yang dikenal pasti daripada kesan darah pada kepingan zink itu.

"Selain itu, sumber DNA yang dikenal pasti daripada kesan darah pada kepingan zink dan penderma spesimen darah berlabel 'Noor Fazilah Ab Sani'(bekas isteri Kamaruddin) adalah konsisten sebagai bapa dan ibu biologi kepada penderma spesimen darah berlabel 'Balqis Dayana Kamaruddin' dan 'Izran Akmal Kamaruddin'," katanya.

Lim berkata kebarangkalian bahawa sumber DNA yang dikenal pasti daripada kesan darah pada kepingan zink itu merupakan anak biologi kepada Zainab, selain bapa biologi kepada Balqis Dayana dan Izran Akmal adalah 99.8525 peratus seperti kiraan berdasarkan pangkalan data penduduk Malaysia berbangsa Melayu.

Saksi itu berkata profil DNA Ahmad Kamil diperoleh daripada kesan darah dan cebisan pada dua keping zink selepas dibandingkan dengan spesimen darah milik ibu bapa peguam itu, Bibi Habibon dan Abdul Karim Isa.

"Penderma spesimen darah berlabel 'Bibi Binti Habibon' dan 'Abdul Karim Bin Isa' merupakan ibu bapa biologi kepada sumber DNA yang dikenal pasti daripada kesan darah dan cebisan pada kepingan zink berkenaan.

"Kebarangkalian bahawa sumber DNA yang dikenal pasti daripada kesan darah dan cebisan pada kepingan zink berkenaan merupakan anak biologi kepada penderma spesimen darah berlabel 'Bibi Binti Habibon' dan 'Abdul Karim Isa' adalah melebihi 99.9999 peratus seperti kiraan berdasarkan pangkalan data penduduk Malaysia berbangsa Melayu," katanya.

Lim juga memaklumkan kepada mahkamah profil DNA Sosilawati diperoleh daripada dua pencungkil gigi yang dirampas ketika siasatan selepas dibandingkan dengan spesimen darah milik ibu jutawan kosmetik itu, Yatmi Abdul Rahman.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada profil DNA diperoleh daripada kesan darah pada sarung kusyen serta kusyen yang dirampas ketika siasatan, dan ia didapati milik haiwan.

"Selain itu, tidak ada keputusan DNA yang konklusif diperoleh daripada sampel tulang kerana ia terbakar terlalu teruk serta tidak ada langsung kesan darah ditemui pada kesemua 58 sampel tanah yang diberikan kepada saya untuk dianalisis," katanya.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan