Peguam Anwar Keluar Mahkamah Ketika Prosiding Qazaf

Diterbitkan: Isnin, 30 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Prosiding rayuan pertuduhan qazaf yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Rayuan Syariah pada Isnin kecoh selepas barisan peguam yang mewakili Anwar secara tiba-tiba keluar dari bilik mahkamah.

Ini menyebabkan peguam Roslizam Rahim yang mewakili tiga pihak lain iaitu Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom, memohon supaya peguam yang mewakili Anwar memberikan tunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman dan tiga lagi peguam bertindak keluar semasa prosiding berlangsung dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

Terdahulu, Kamar Ainiah memohon supaya Shamsuddin, Che Mat dan Jamil Khir memfailkan kebenaran bagi mengetepikan notis rayuan yang difailkan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pertuduhan qazaf yang difailkan Anwar terhadap Mohd Saiful.

Bagaimanapun panel tiga anggota mahkamah terdiri Hakim Datuk Zohdi Toha, Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Hasan menolak permohonan Kamar Ainiah itu dengan alasan mereka (Shamsuddin, Che Mat dan Jamil Khir) tidak perlu membuat permohonan berkenaan kerana ia tidak relevan dan sia-sia.

Kamar Ainiah bersama tiga peguam Anwar yang lain kemudian mengemaskan fail-fail mereka sebelum keluar dari kamar mahkamah, sambil berkata: "Biarlah mereka meneruskannya (prosiding), mereka boleh makan duit zakat. Kami akan mengambil tindakan susulan iaitu menyemak keputusan mahkamah."

Bagaimanapun, Kamar Ainiah menarik balik kenyataan itu selepas diminta berbuat demikian oleh Roslizam.

Roslizam berkata pihaknya merasa dukacita dengan tindakan peguam-peguam itu yang meninggalkan mahkamah semasa prosiding berlangsung.

Hakim Zohdi menangguhkan perbicaraan rayuan Anwar itu kepada 8 Mac ini.

Pada 23 April 2010, Anwar memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak permohonannya supaya memerintahkan pendakwaan yang diwakili Shamsuddin, meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful, 26.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan