Keputusan Kes Liong Sik Ditangguh 9 Mac

Diterbitkan: Jumaat, 27 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menangguhkan ke 9 Mac keputusan kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang menghadapi pertuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan RM1.08 bilion dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memohon maaf terhadap penangguhan itu dan menyatakan beliau memerlukan masa sebelum membuat keputusan di akhir kes pendakwaan.

Keputusan perbicaraan yang bermula 1 Ogos 2011, berhubung sama ada Dr Ling diperintah membela diri atau dilepas dan dibebaskan, sepatutnya diketahui hari ini.

Dr Ling, 69, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun sejak 1986, dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 sekaki persegi (skp), telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Bekas Presiden MCA itu juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling, yang diwakili peguam Wong Khian Keong, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya, manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah telah memanggil 25 saksi termasuk menteri kabinet dan pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan JPPH.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, yang turut mewakili pendakwaan, memberitahu pemberita bahawa ketika di dalam kamar, Hakim Ahmadi menyatakan bahawa beliau memerlukan masa untuk menulis alasan penghakiman penuh. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan