PKFZ: Nasib Ling Liong Sik Diketahui Jumaat Ini

Diterbitkan: Rabu, 25 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik akan mengetahui keputusan Mahkamah Tinggi Jumaat ini sama ada perlu membela diri atau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Permasalahan dalam projek PKFZ turut melibatkan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) O.C. Phang dan bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy.

Phang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan RM254.85 juta manakala Chang didakwa menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melibatkan RM1.9 bilion.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Ling, 69, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun sejak 1986, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling yang diwakili peguam Wong Khian Keong didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, Dr Ling didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 kanun berkenaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi selama tiga bulan itu melibatkan 25 orang saksi pendakwaan dan sebanyak 173 eksibit dikemukakan termasuk dokumen kerajaan berstatus 'rahsia'.

Antara saksi yang dipanggil ialah Phang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz, bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi, pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan beberapa pegawai kanan JPPH.

Pada perbicaraan lepas, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengatakan bahawa Dr Ling bertanggungjawab terhadap kandungan surat kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai projek PKFZ kerana beliau menandatangani surat itu.

Beliau berkata Dr Ling tidak boleh menyalahkan orang lain kerana beliau sudah sedia maklum mengenai terma dan syarat dalam surat itu, termasuk nilai RM25 sekaki persegi (skp) berdasarkan nilaian khas.

Tun Abdul Majid juga berkata tertuduh turut menyokong pembelian tanah di Pulau Indah, Klang Selangor serta menandatangani surat kepada Dr Mahathir bertarikh 3 April 2002 dan sepucuk lagi pada 29 Jun 2002.

Beliau berkata tertuduh sedia maklum bahawa RM1.088 bilion bukan kos keseluruhan dalam pembelian tanah namun tidak mahu kabinet mengetahuinya.

Bagaimanapun peguam Wong berhujah Dr Ling hanyalah 'kambing hitam' dan kabinet sememangnya dimaklumkan mengenai faedah pada kadar 7.5 peratus setahun.

Wong berkata anak guamnya juga tidak memberi gambaran yang salah kepada kabinet bahawa kadar RM25 skp dan faedah 7.5 peratus itu telah disahkan serta dipersetujui JPPH.

Beliau berkata meskipun Dr Ling adalah penandatangan surat kepada Dr Mahathir 29 Jun 2002 serta nota bertarikh 29 Oktober tahun yang sama, kedua-dua dokumen tidak disediakan sendiri oleh tertuduh.

Sebelum menutup kes pada 17 November lalu, pihak pendakwaan telah menawarkan 113 saksi termasuk Dr Mahathir dan Abdullah serta beberapa menteri kabinet sekiranya Dr Ling dipanggil membela diri.

Sepanjang perbicaraan, Dr Ling yang juga bekas Presiden MCA sentiasa ditemani isterinya Toh Puan Ong Ee Nah dan dua anak lelaki mereka Hee Leong dan Hee Kiat. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan