Fitnah Rais: Mahkamah Rayuan Kekalkan Keputusan Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Khamis, 19 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu mengesahkan satu keputusan yang memerintahkan seorang bloger membayar ganti rugi RM300,000 kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana memfitnah menteri itu dalam satu artikel.

Hakim Datuk Jefrey Tan Kok Wha, yang mengetuai tiga panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan bloger, Amizudin Ahmat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

Hakim Tan yang mendengar rayuan itu bersama Hakim-Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa bloger itu bertanggungjawab kerana memfitnah menteri itu melalui sebuah artikel.

Sambil membacakan sebab-sebab dengan panjang lebar, Hakim Tan berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung jumlah ganti rugi RM300,000 yang diberikan kepada menteri tersebut.

Beliau berkata, jumlah itu mungkin kelihatan agak tinggi dan itu merupakan tanggapan pertama mahkamah.

"Tapi sebaliknya apabila diambil kira responden (Rais) merupakan seorang yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat, manakala dakwaan itu adalah begitu rendah dan keji, oleh itu, kami dapati kuantum RM300,000 bukanlah satu jumlah yang tinggi," katanya lagi.

Bagaimanapun, korum dalam menolak rayuan itu, mengurangkan kos perundangan yang perlu dibayar oleh bloger itu kepada menteri daripada RM100,000 kepada RM50,000 sahaja kerana mereka dapati ia adalah satu jumlah yang tinggi.

Beliau juga berkata, mahkamah secara total bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pembelaan mengenai justifikasi penerbitan oleh bloger itu tidak direka dalam kes ini.

Hakim Tan berkata, penerbitan artikel itu bukan pembelaan dan kebenaran mengenai dakwaan rogol.

"Satu-satunya kebenaran adalah mengenai siasatan terhadap rogol tetapi bukan kebenaran mengenai rogol," katanya.

Panel hakim membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan peguam Rais, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan R.Sivarasa yang mewakili bloger itu.

Pada 19 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd Yusof memerintahkan seorang bloger membayar ganti rugi RM300,000 kepada Rais kerana memfitnah menteri itu dalam satu artikel.

Hakim Zabariah berkata, setelah mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.

Pada Januari tahun lepas, Rais, 69, menyaman Amizudin, yang juga anggota exco pemuda Parti Keadilan Rakyat, kerana memfitnah beliau menerusi satu artikel yang tersiar dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas.

Dalam samannya itu, Rais berkata artikel berbahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau serta bermaksud beliau melakukan kesalahan besar merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.

Seorang wanita yang pernah bekerja dengan menteri itu kemudiannya dilaporkan telah memberitahu sebuah portal berita Indonesia bahawa dia tidak pernah dirogol atau dilayan dengan buruk oleh majikannya itu. - BERNAMA SSA A

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan