RM1.63 Juta Diputuskan Untuk Pelaburan Projek Restoran Malaysia Di Dubai - Saksi

Diterbitkan: Rabu, 18 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Seksyen di sini Rabu bahawa ahli lembaga pengarah Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (PEMPENA) telah membuat keputusan untuk melaburkan sebanyak RM1.63 juta bagi projek Restoran Malaysia di Dhow Palace Hotel, di Dubai.

Setiausaha PEMPENA, Mohd Noor Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PEMPENA Datuk Seri Chor Chee Heung, pada 22 Februari 2007.

Mohd Noor, 50, yang juga merupakan akauntan di syarikatnya iaitu Tetuan Mohd Noor Associate berkata, mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab, bekas Ketua Pegawai Operasi PEMPENA, Mohammad Rosly Md Selamat dan bekas Naib Pengerusi Eksekutif PEMPENA, Akit Sebli.

Saksi ke-11 pendakwaan itu berkata beberapa syarat perlu dipersetujui untuk melaksanakan projek berkenaan termasuk melantik seorang wakil PEMPENA bagi mengkaji semula terma-terma dan syarat-syarat perjanjian pemegang saham.

"Pelaburan bagi pelaksanaan Restoran Malaysia di Dubai telah dibentangkan dalam mesyuarat itu pada hari berkenaan (22 Februari 2007), tetapi saya tidak pasti siapa yang membentangkannya kerana tiada catitan dibuat dalam minit mesyuarat.

"Kebiasaannya, ia dibentangkan oleh pihak pengurusan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi pada perbicaraan kes pecah amanah membabitkan Mirza dan Mohammad Rosly.

Pada 16 Ogos 2010, Mirza, 55, dan Mohammad Rosly, 58, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah meluluskan pembayaran wang berjumlah RM888,000 ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Februari 2007, bagi projek pembinaan Restoran Malaysia Dubai tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PEMPENA di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 Februari 2007.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan denda, dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pihak pembelaan yang diwakili peguam Saseedharan Menon memohon supaya mahkamah memberi notis kepada Cif Inspektor Mohd Shukri Nawang dari Unit Siasatan Korporat, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman untuk mengemukakan beberapa dokumen termasuk buku minit mesyuarat PEMPENA dan fail kesetiausahaan kepada mahkamah.

Peguam itu, yang mewakili Mirza berkata, dokumen itu diperlukan sebagai eksibit untuk menyoal balas Mohd Noor, yang juga saksi ke-11 itu pada 17 Februari ini.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan permohonan pembelaan itu dan perbicaraan kes bersambung pada Khamis. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan