Penagih Dadah Ditahan Berkaitan Penemuan Mayat Reput

Diterbitkan: Khamis, 29 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Polis menahan seorang lelaki di Kampung Kolam, Padang Besar malam tadi berikutan penemuan mayat lelaki yang telah reput di sebuah rumah kosong di Kampung Kubang Arang dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, lelaki tempatan berumur 25 tahun itu ditahan di rumahnya pukul 7 malam tadi, hampir sembilan jam selepas mayat mangsa ditemui dalam timbunan sampah sarap dalam rumah itu.

Mayat itu ditemui seorang pesawah kira-kira pukul 10.30 pagi semalam setelah menyiasat bau busuk yang datang dari arah rumah yang separuhnya telah terbakar dua tahun lalu.

Abdul Rahman berkata, polis mengenalpasti mayat itu sebagai Ibrahin Mommad, 71, berasal dari Kampung Ujong Bukit dekat sini yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 21 Dis lalu.

Menurutnya, bedah siasat terhadap mangsa mendapati terdapat kesan dipukul dengan objek tumpul pada bahagian kepala dan muka mangsa.

Katanya, suspek yang dipercayai seorang penagih dadah tidak mempunyai kaitan kekeluargaan dengan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu ditahan reman sehingga 4 Jan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan