Pegawai PTD Dituduh Pukul Suami Guna Fail Pejabat

Diterbitkan: Khamis, 29 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Seorang pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap pertuduhan memukul suaminya menggunakan fail pejabat sembilan bulan lepas.

Kamaliah Basir, 35, didakwa telah mendatangkan kecederaan kepada Zaihan Md Lani, 48, dengan menggunakan fail pejabat di bahagian badan semasa berada di dalam kereta di perhentian simpang tiga lampu isyarat Persiaran Semarak Api dan Persiaran Apec, Cyberjaya, Sepang, di sini, pada 12.45 tengah hari 3 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aqeeb Lizalman memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,000 sebagai ikat jamin.

Bagaimanapun Hakim Zurina Mohamed Nor menetapkan ikat jamin sebanyak RM1,800 dan 9 Feb tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan