Edar Dadah, Wanita Indonesia Dijatuhi Hukuman Gantung

Diterbitkan: Khamis, 29 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah di Bukit Kayu Hitam, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Maggie Taissya Olyvia, 25, seorang graduan perbankan sebuah universiti di Indonesia, selepas memutuskan pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Maggie dituduh mengedar dadah seberat 841.63 gram (656.15 gram heroin dan 185.48 gram monoacertylmorphines) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam pada 20 Sept 2010, pukul 12.15 tengah hari.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norsyuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili peguam A.J. Surinarayanan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan