Cederakan Seorang Lelaki, Pekerja Kontrak Dipenjara Dua Bulan

Diterbitkan: Rabu, 21 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kontrak dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan seorang lelaki.

Majistret Mohd Azali Ibrahim juga menjatuhi hukuman penjara sebulan dan tujuh hari terhadap Mohd Fadzli Zuraimi, 51, setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan kepada polis dan mabuk.

Mohd Fadzli didakwa dengan sengaja mencederakan Putra Mohd Jeffry Abdullah, 42, di belakang Kompleks Kota Raya, Jalan Silang di sini pada pukul 1.30 tengah hari semalam.

Dia turut didakwa mabuk dan tidak dapat mengawal diri di tempat awam dengan bertumbuk pada pukul 3.30 petang di tempat dan hari yang sama selain gagal menunjukkan kad pengenalan di Pondok Bergerak Pasar Seni Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara dua bulan, pertuduhan kedua penjara tujuh hari dan pertuduhan ketiga penjara sebulan.

Mohd Azali memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan serentak dan bermula dari tarikh Mohd Fadzli ditangkap iaitu semalam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chew Zi Xian. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan