Pendandan Rambut Dituduh Bunuh Ibu Penyampai Radio

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pendandan rambut pada Khamis, didakwa di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan membunuh ibu penyampai radio berbahasa Cina My FM, di sebuah rumah di Taman Sri Segambut, di sini.

Lim Kang Wee, 29, dituduh membunuh Lai Kam Lian, 62, di sebuah rumah No. 3/194B, Jalan Udang Kertas, Taman Segambut, Sentul, 9.45 malam, 1 Disember lepas.

Bagi kesalahan itu, dia yang diwakili peguam bela Stanley C. Augustin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam untuk menghantar anak guamnya itu ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak, bagi menjalani pemeriksaan mental memandangkan tertuduh mempunyai rekod sakit mental.

Mahkamah menetapkan 15 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Abu Hassan Ramli.

Dalam kejadian, mangsa dikatakan baru sahaja pulang dari kelas tarian sebelum ditemui mati berlumuran darah akibat ditikam lima kali di belakang badan dan lengan selain di punggung. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan