Lim Guan Eng Berjaya Dalam Saman Fitnah Terhadap Utusan Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, memerintahkan akhbar arus perdana, Utusan Malaysia untuk membayar pampasan RM200,000 kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana menerbitkan artikel yang mengandungi unsur memfitnah terhadap beliau.

Pesuruhjaya Kehakiman, Varghese George Varughese dalam membenerkan saman fitnah yang difailkan oleh Lim berkata, terdapat tujuh perenggan memfitnah dan dibuat atas niat jahat dan mengelirukan pembaca.

“Artikel tersebut bersifat retorik dan tidak disokong dengan fakta.

“Juga tiada penjelasan atau maklumat dalam artikel tersebut memandangkan penulisnya berkata beliau tidak boleh mendapatkan penjelasan ekoran Utusan Malaysia dipulaukan,” katanya dalam penghakiman yang mengambil masa lebih daripada sejam untuk dibacakan.

“Mereka (Utusan Malaysia) seharusnya membuat sekurang-kurangnya satu percubaan untuk mendapatkan penjelasan yang akan membuat artikel tersebut dibuat dengan bona fide (niat baik),” katanya.

Beliau juga memerintahkan akhbar terbabit untuk membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk bersama faedah pada kadar empat peratus bermula daripada tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih memfailkan saman tersebut berhubung penerbitan artikel bertajuk ‘Kebiadaban Guan Eng’ yang diterbitkan pada 20 Disember lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim merujuk kepada tujuh perenggan yang didakwa memfitnah dirinya sebagai seorang yang ‘rasis’ yang menentang perkara-perkara yang melibatkan orang Melayu.

Dalam penyataan pembelaan yang difailkan oleh syarikat penerbitan, Utusan Melayu (M) Bhd mendakwa artikel tersebut diterbitkan sebagai maklum balas kepada tindakan Lim menyerang akhbar tersebut pada ucapannya sempena Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan pada 19 Disember lalu di Kepala Batas, dekat sini.

Selain itu, mereka juga mendakwa sekiranya artikel itu dibaca secara keseluruhan, ia tidak mempunyai sebarang unsur memfitnah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan