Penganggur Didakwa Bunuh Abang Kandung

Diterbitkan: Jumaat, 2 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat atas pertuduhan membunuh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Taman Datuk Harun, di sini Sabtu lepas.

Mohamad Firdaus Nazri, 21, yang didakwa membunuh Kamarul Izhar, 28, di Jalan PJS 2/1, Taman Datuk Harun, pada 5 petang, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tanpa diwakili peguam, Mohamad Firdaus yang memakai kemeja-T berwarna biru, mengangguk faham ketika dibacakan pertuduhan itu di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Februari tahun ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan Mohamad Firdaus menikam abang kandungnya itu setelah berlaku pertengkaran mengenai wang.

Kamarul Izhar disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan