Kes Sosilawati: Terdapat Bukti Panggilan Daripada "Datuk Pathma 2" Dalam Telefon Bimbit Mangsa

Diterbitkan: Rabu, 30 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu bahawa sebuah telefon bimbit dipercayai milik seorang daripada mangsa dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, telah menerima panggilan daripada "Datuk Pathma 2" beberapa jam sebelum kejadian bunuh itu berlaku.

Juruanalisis Jenayah Komputer, ASP Mohd Zulkifly Mohd Isa, 31, dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata, rekod transaksi telefon bimbit itu menunjukkan ia menerima panggilan daripada nombor 016-2047518 yang disimpan atas nama "Datuk Pathma 2" pada 6 petang 30 Ogos 2010.

Pegawai polis itu berkata, rekod transaksi itu diperoleh semasa beliau membuat analisis terhadap telefon bimbit berkenaan yang merupakan antara 13 barang kes yang diserahkan kepadanya oleh pegawai penyiasat ASP Ishak Yaacob dan seorang pegawai lain bernama Inspektor Suzana pada 17 dan 20 September 2010.

"Transaksi telefon bimbit Blackberry 9700 putih berkenaan turut menerima 'miss call' daripada nombor 016-2045518 yang disimpan atas nama 'Datuk Pathma 2' pada pukul 4.22 petang pada 30 Ogos 2010," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azami.

Saksi ke-76 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R. Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Zulkifly berkata, rekod transaksi telefon bimbit itu juga menunjukkan ia menerima panggilan daripada nombor 012-7778017 yang disimpan atas nama 'Rita' pada pukul 6.53 petang 30 Ogos 2010 dan menerima SMS daripada nombor 016-2683055 yang disimpan atas nama 'Haji Kamal Datuk Sosilawati' pada 4.10 petang hari yang sama.

Mengenai rekod transaksi sebuah lagi telefon bimbit jenis Blackberry berwarna hitam dipercayai milik seorang lagi mangsa, saksi itu berkata telefon bimbit berkenaan telah membuat panggilan keluar pada 9.53 malam 30 Ogos 2010 ke nombor 012-2498753 yang disimpan atas nama 'CIMB Lyly Zanariyah' dan ke nombor 019-2644971 yang disimpan atas nama 'Jefry Hamdan' pada pukul 9.35 malam hari yang sama.

Mohd Zulkifly berkata, rekod transaksi telefon bimbit itu juga menunjukkan ia menerima SMS daripada nombor 019-3359539 yang disimpan atas nama 'Anasha' dan telah dibaca pada 8.12 malam 30 Ogos 2010.

Dalam prosiding sebelum ini, kedua-dua telefon bimbit Blackberry berwarna putih dan hitam itu telah dicam sebagai milik Ahmad Kamil dan Noorhisham oleh isteri masing-masing, dan kedua-dua alat itu dijumpai anggota penyelam Pasukan Gerakan Marin (PGM) ketika membuat pencarian di longkang besar berhampiran pintu kunci air Pasar Besar Banting pada 12 Sept 2010.

Ditanya mengenai kaedah digunakan untuk mengeluarkan rekod transaksi kedua-dua telefon bimbit itu, Mohd Zulkifly berkata beliau terlebih dahulu mengeringkannya menggunakan alat pengering memandangkan kedua-dua telefon bimbit itu lembap.

"Telefon bimbit itu ada papan litar dan akan berlaku litar pintas (jika dihidupkan dalam keadaan basah). Oleh itu saya perlu mengeringkannya terlebih dahulu supaya saya boleh menghidupkan telefon bimbit itu untuk diekstrak. Tempoh masa untuk saya keringkannya adalah selama 11 hari.

"Kemudian, saya sambungkan telefon menggunakan kabel ke sistem XRY yang disambung ke komputer dan segala kandungan dalam telefon bimbit itu telah dibaca menggunakan XRY," katanya.

Menjelaskan mengenai XRY, Mohd Zulkifly berkata ia adalah perisian yang digunakan untuk menyambung telefon bimbit melalui 'bluetooth' atau kabel bagi membolehkan perisian itu membaca kandungan telefon bimbit berkenaan.

Beliau berkata XRY juga berperanan sebagai penapis untuk memastikan tiada data baru masuk ke telefon bimbit semasa analisis dijalankan.

Mohd Zulkifly berkata, laporan analisis setebal 281 muka surat termasuk lampiran diserahkan kepada pegawai penyiasat pada 6 Oktober tahun lalu. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung pada 9 Januari tahun depan.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan