Superintendan Polis Diarah Bela Diri Buat Kenyataan Palsu

Diterbitkan: Rabu, 16 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Mahkamah Sesyen Johor Baharu memerintahkan seorang Superintendan polis membela diri terhadap tuduhan menggunakan sebagai benar suatu akuan yang diketahui palsu dan membuat kenyataan palsu di dalam surat akuan bersumpah, enam tahun lepas, pada Rabu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keuptusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Azmi Osman, 55.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai benar suatu akuan iaitu surat akuan bersumpah oleh D.Jethalal (nombor pasport Singapura S1468449B) bertarikh 12 Ogos 2005, yang diketahui adalah palsu, di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Blok D6, Putrajaya, antara 29 Sept dan 10 Okt 2005.

Dia dituduh mengikut Seksyen 200 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 193 kanun yang sama, yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa membuat suatu pernyataan iaitu surat akuan bersumpah bertarikh 8 Okt 2005 berserta senarai harta alih dan harta tak alih bertarikh 29 Sept 2005, yang diketahui adalah palsu kepada pendakwa raya di nombor 9, Jalan Padi Ria 13, Bandar Baru Uda, di sini, antara 29 Sept dan 10 Okt 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 19(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Haldar memerintahkan Azmi memberi keterangan pembelaannya mulai 22 Disember depan selepas tertuduh memilih untuk memberi kenyataan secara bersumpah.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Saifuddin Hashim Musaini manakala Azmi yang kini digantung tugas diwakili peguam bela Adam Yap dan C.N. Sritharan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan