Rasuah: Empat Anggota Polis Dipenjara, Denda

Diterbitkan: Rabu, 9 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, memerintahkan empat orang anggota polis menjalani hukuman penjara dan denda selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah daripada seorang pegawai bank, dua tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh memerintahkan supaya Lans Koperal Mohammad Faizatulakma Shamsuddin, 27, dihukum penjara selama empat tahun dan membayar denda RM30,000 atau jika gagal dipenjara selama 33 bulan.

Rakan tertuduh, Lans Koperal Mohd Zuraidi Abu Jasam, 26, pula dihukum penjara empat tahun dan denda RM20,000 atau 22 bulan penjara, jika gagal manakala seorang lagi tertuduh, Konstabel Zulkfli Jaafar, 29, dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 atau jika gagal, 11 bulan penjara.

Turut dihukum adalah Lans Koperal Nor Haffizo Mat Hassan, 27, yang diarahkan menjalani hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau jika gagal, 11 bulan penjara.

Semua hukuman penjara diarahkan bermula pada hari ini.

Mohammad Faizatulakma dan Mohd Zuraidi disabitkan bersalah atas tuduhan meminta rasuah bernilai RM1,400 daripada Iduan Ariffin, 37, pada antara pukul 11 malam, 15 Februari 2009 di Jalan 11/9, Petaling Jaya, dekat sini.

Mohammad Faizatulakma juga didakwa telah bersama-sama dengan Zulkfli untuk bersetuju menerima RM800 daripada Iduan pada antara pukul 12 tengah malam dan 1.30 malam, 16 Februari 2009 di Bank RHB, Jalan SS2/55, Sea Park, Petaling Jaya.

Dia juga sekali lagi didakwa bersama Mohd Zuraidi dan Nor Haffizo atas tuduhan menerima RM800 daripada lduan pada pukul 8.53 malam, 16 Februari 2009 di Jalan 11/9 tersebut.

Semua tertuduh yang merupakan anggota cawangan kereta perondan (MPV), Balai Polis Sea Park didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Iduan dan pasangannya, Badiatul Adawiyah Mohd Zubir Ali, 38, yang dikatakan telah melakukan kesalahan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 19 Mei 2010 sebelum disabitkan bersalah pada 5 Oktober lalu.

Perbicaraan melibatkan 20 saksi pendakwaan manakala barisan pembelaan yang dibarisi oleh peguam-peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Mokhzani Harris Yusof mengemukakan empat saksi pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Sinti.

Pada prosiding itu, Hakim Azhaniz Teh membenarkan permohonan semua tertuduh bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana berhasrat memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan supaya hukuman denda dibayar pada hari ini dan turut mengekalkan jaminan tertuduh sebanyak RM3,500 bagi tujuan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan