Suami Isteri Didakwa Eksploitasi Lima Warga India

Diterbitkan: Jumaat, 4 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di empat Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas lima tuduhan mengeksploitasikan lima pekerja warga India sebagai buruh paksa, yang didakwa dilakukan mereka Jun lalu.

Pengakuan si isteri, Somasudaran Suguna, 37, yang merupakan tertuduh pertama dan suaminya, P. Ramasamy, 48, direkodkan di hadapan Hakim-Hakim Hayatul Akmal Abd Aziz, Balqis Aini Mohd Ali, Yasmin Abdul Razak dan Suraiya Mustafa Kamal.

Mereka didakwa memperdagangkan G. Boominathan, 31, R. Prabhu, 23, R. Suseendran, 26, S. Ramadoss, 40, dan S. Rathakishnan, 45, bagi maksud mengeksploitasikan mereka sebagai buruh paksa pada pukul 1 pagi, 25 Jun lalu.

Semua mangsa mempunyai pas kerja yang sah dan tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah nombor 11, Jalan 3/6, Taman Wawasan, Bandar Puchong, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Pada prosiding itu, Somusudaran yang berstatus penduduk tetap negara ini dan suaminya yang merupakan seorang muflis dibenarkan dibebaskan dengan jaminan RM26,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh juga diperintahkan untuk melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan dan pasport antarabangsa mereka juga perlu diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 25 November ini, dan difahamkan abang dan adik tertuduh telah menjelaskan jaminan yang dikenakan oleh mahkamah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan